Tiga cedera kereta kompak bertembung pacuan empat roda di Jalan Kimanis-Keningau

KEADAAN kereta kompak yang remuk teruk selepas bertembung dengan pacuan empat roda.
KEADAAN kereta kompak yang remuk teruk selepas bertembung dengan pacuan empat roda.

KENINGAU: Tiga individu mengalami kecederaan parah selepas kereta jenis kompak yang dinaiki bertembung dengan kereta pacuan empat roda di Jalan Kimanis-Keningau, berhampiran Kampung Bariawa di sini.

Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Tonny Sipin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 8.25 pagi Selasa sebelum menggegaskan lima anggota dari Balai

Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau ke lokasi sejauh 12 kilometer.

“Kejadian menyebabkan tiga daripada individu yang menaiki kenderaan jenis kompak mengalami kecederaan parah manakala seorang penumpang hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya pemandu kereta pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan jam 9.42 pagi.

Sementara dalam kejadian berasingan, sebuah rumah seluas 16×20 kaki persegi musnah terbakar di Kampung Pinapak Pitas kira-kira jam 7.15 pagi.

Operasi pemadaman di lokasi sejauh 55 kilometer dari jarak balai itu dijayakan seramai lima anggota BBP Kota Marudu yang diketuai PBKII Gabuh Maradan.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kes itu dan punca kejadian masih dalam siasatan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *