Penunggang dan pembonceng motosikal maut di Jalan Lahad Datu-Kunak

Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari tempat kemalangan. Gambar SNT/Ihsan Bomba Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang penunggang motosikal bersama pemboncengnya maut dalam satu kemalangan di Jalan Lahad Datu-Kunak lewat malam semalam.

Menurut kenyataan Balai Bomba Lahad Datu, motosikal jenis Yamaha LC yang dinaiki kedua mangsa terbabas ke dalam parit di Kampung Bumiputera Kilometer 25 Jalan Lahad Datu – Kunak.

Motosikal jenis Yamaha LC yang rosak teruk selepas terbabas ke dalam parit. Gambar SNT/Ihsan Bomba Lahad Datu

Penunggang motosikal dikenalpasti sebagai Arwin bin Boy, 19 tahun manakala pembonceng ialah Nurhafeza bte Mooti, 26.

Balai Bomba Lahad Datu menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan tersebut pada jam 10.20 malam.

Pegawai Bomba Kanan Dua Asmori Dahharsyah yang mengetuai pasukan respon bersama lapan anggota berkata kedua-dua mangsa itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulan.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *