Tindakan pantas selamat puluhan rumah

Kebakaran yang memusnahkan dua rumah di Kampung Tampi-Tampi, pagi tadi. FOTO ihsan Pembaca

TINDAKAN pantas anggota bomba mengawal kebakaran daripada merebak berjaya menyelamatkan puluhan rumah di penempatan atas air Kampung Tampi-Tampi, Semporna, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi, dua rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 20 peratus di bahagian dapur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Fazizul Hizam Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.09 pagi sebelum dua jentera bersama sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, operasi memadam kebakaran dilakukan menggunakan sumber air daripada jentera selain pam apung yang menyedut air laut.

“Anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran dan mengambil masa hampir 20 minit sebelum api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 9.24 pagi,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan semua penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat manakala operasi ditamatkan pada jam 10.32 pagi. – Harian Metro

423