Bulan puasa pun hisap dadah

LAPAN individu termasuk seorang wanita ditahan dalam Operasi Khas Sarang di Kampung Sembulan, di Kota Kinabalu, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, operasi bermula 12.30 tengah malam itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Seramai 29 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, tujuh ditahan mengikut Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 12(2) akta yang sama.

“Semua individu adalah warga tempatan berusia antara 18 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Katanya lagi, semua individu itu ditahan di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi ‘hotspot’ dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Operasi ini dilakukan hasil daripada risikan dan maklumat orang awam berhubung lokasi itu dijadikan sebagai sarang penagihan dadah.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan ‘hotspot’ sekitar daerah ini,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu akan terus diperhebat dari semasa ke semasa.

“Operasi diteruskan demi menjaga kesejahteraan dan ketenteraman bandar raya ini,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *