‘Huguan Siou’ setuju penyatuan bangsa KDM – Peter

KENINGAU, 19 Mei – ‘’Huguan Siou’ atau pemimpin agung masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersetuju dengan cadangan menyatukan bangsa tersebut tanpa mengira fahaman politik, kata Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony.

Beliau berkata cadangan tersebut dikemukakan kepada Pairin dalam pertemuannya awal bulan ini bagi membincangkan berkaitan dengan Pesta Kaamatan, sekali gus memahu pemimpin KDM merapatkan barisan.

“Kita berada di bawah satu bumbung, selama ini kedudukan kaum KDM terpisah disebabkan oleh perbezaan fahaman politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kaamatan peringkat daerah Keningau di sini, hari ini.

Peter, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, berkata beliau turut meminta agar Pairin mengetuai rundingan untuk membawa gabungan keseluruhan pemimpin KDM bagi membincangkan nasib dan hala tuju bangsa itu.

Beliau berkata pemimpin KDM perlu berkorban untuk melupakan seketika fahaman politik yang berbeza untuk memastikan kelangsungan bangsa itu terus relevan.

Peter, yang juga naib presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), berkata, pemimpin KDM perlu memikirkan sesuatu yang lebih realiti terhadap golongan muda bangsa itu supaya tidak berhijrah untuk mencari pekerajaan di tempat lain.

“Kita cadangkan perlu ada satu kuota daripada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk KDM apabila melihat jurang yang amat besar golongan muda ini yang berada di bandar,” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun dan Murut Sabah (KDCA), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan turut memberi sokongan terhadap cadangan penyatuan itu.

Beliau berkata ia penting agar KDM terus bergerak maju dalam arus pembangunan negara.

— BERNAMA