‘Saya Sihat, Terima Kasih’ – Musa Aman

KOTA KINABALU: `Saya sihat, terima kasih,’ ujar bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman apabila ditanya mengenai keadaan terkini beliau ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga itu dilihat meninggalkan dewan persidangan selepas sesi soal jawab pada hari kedua Sidang Dun itu pada pukul 11 pagi.

Musa di “jolok” wartawan ketika beredar dari bangunan Dewan Undangan Negeri selepas menghadiri sesi soal jawab pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya akan mengulas tentang perkara itu bila sudah bersedia,” jawab Musa ringkas terhadap pertanyaan para wartawan sama ada beliau akan menjadi ketua pembangkang dalam persidangan Dun yang berlangsung mulai 11 hingga 18 April ini.

Terdahulu Musa menghadiri persidangan Dun ke-15 buat pertama kalinya selepas tampuk pemerintahan kerajaan Negeri diambil alih oleh kerajaan gabungan pimpinan Parti Warisan Sabah.

Musa diiringi para penyokong semasa beredar dari Dewan Undangan Negeri. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau tiba sebelum sidang bermula pukul 10 pagi tadi dan disambut oleh wakil-wakil rakyat yang terdahulunya daripada Umno dan juga Barisan Nasional serta para penyokong.

Menariknya Musa adalah satu-satunya wakil rakyat yang mewakili Umno dalam persidangan itu.

Musa mengangkat sumpah sebagai Adun pada 5 September tahun lalu dan ini merupakan penampilan pertama beliau dalam persidangan Dun sejak kerajaan baharu. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *