PAPAR: Peningkatan kes pembakaran terbuka di daerah ini dan daerah berhampiran menjejaskan aktiviti harian penduduk sehingga terpaksa mengehadkan kegiatan luar rumah.
Keadaan itu menyebabkan keadaan persekitaran berjerebu yang mana Kimanis sebelum ini pernah merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, iaitu melebihi 115.
Penduduk Kampung Sabandil, Aileen Sundang, 58, berkata keadaan jerebu semakin teruk beberapa hari lalu berikutan kebakaran belukar di kawasan bukit belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sabandil.
“Asap jerebu tebal ini membuatkan kesihatan seorang cucu saya yang berumur empat tahun terjejas dan disebabkan itu saya tidak membenarkan cucu keluar rumah kerana bimbang mereka mengalami sesak nafas.
“Cuaca panas berpanjangan juga menyebabkan tanaman sayur-sayuran saya kering, ditambah pula air graviti di rumah tidak kuat alirannya,” katanya.
Penduduk Kampung Lanas di Kimanis, Mohammad Abd Rahman, 33, berkata biasanya jerebu melanda pada sebelah pagi sahaja, namun semalam keadaan semakin buruk hingga mengehadkan pemandangan.
“Disebabkan asap tebal itu, pemandangan saya ketika memandu untuk ke tempat kerja terhad. Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Roslie Jun, ketika dihubungi berkata, sejak Januari lalu pihaknya menerima 103 kes pembakaran terbuka sekitar Papar dan 83 kes di Kimanis.
“Semua kes itu membabitkan pembakaran lalang dan hutan. Orang ramai dinasihatkan tidak membakar hutan dan lalang sesuka hati kerana cuaca panas mampu menjadikan api merebak dengan pantas.
“Pihak bomba juga sudah mengedarkan risalah mengenai pembakaran terbuka di sekitar Papar termasuk di beberapa kampung,” katanya. – Berita Harian