PPM tahan dalang seludup migran di Tawau

Foto Ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah

TAWAU 8 Mac – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menyelamatkan tujuh individu mangsa pemerdagangan manusia di perkampungan air, Batu 4 di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, seorang lelaki tempatan berusia 30-an disyaki menjadi dalang penyeludupan migran turut ditahan, manakala tujuh warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita serta seorang kanak-kanak perempuan, kesemuanya berumur dua hingga 42 tahun yang dibawa suspek diselamatkan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata penyeludupan migran itu berjaya digagalkan selepas sepasukan anggota PPM menjalankan intipan berpandukan maklumat dari Unit Risikan Marin (URM) sehingga menghasilkan tangkapan.

“Operasi tersebut juga berjaya dilaksanakan atas risikan dimulakan URM dengan hasil kerjasama orang awam yang membantu menyalurkan maklumat bagi mengekang penyeludupan migran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata pihaknya mengekori bot suspek dari sempadan perairan negara dan berjaya menahan kesemuanya di perkampungan tersebut.

Berdasarkan soal siasat, katanya kesemua mangsa akan dihantar ke Kota Kinabalu untuk bekerja sebagai buruh dalam pelbagai sektor.

Mohamad Pajeri berkata dalam serbuan itu pihaknya turut merampas sebuah kereta pacuan empat roda yang digunakan dalam aktiviti tersebut, dan kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010).

— BERNAMA

Foto Ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Foto Ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Foto Ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Foto Ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah
87