Dibaham buaya ketika jala udang

ABDUL Rahman dilaporkan hilang disyaki disambar buaya di Sungai Kinabatangan di Tanjung Bulat, Kinabatangan. – Foto ihsan pembaca

KINABATANGAN: Seorang anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan hilang, selepas dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Kinabatangan, berdekatan kawasan Tanjung Bulat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa Abdul Rahman Nor Sirat, 40, dilaporkan sedang menjala udang sebelum disyaki dibaham reptilia itu.

Abdul Rahman Nor Sirat berumur dalam lingkungan 40-an, dilaporkan sedang menjala udang sebelum disyaki disambar haiwan terbabit.

Ketua Pegawai APM Zon Sandakan, Leftenan Ahmad Roslan Mohd Kamel ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu.

“Pasukan APM sudah ke lokasi untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Sebarang perkembangan terkini, akan kami salurkan dengan segera,” katanya kepada BH hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.44 malam, semalam.

“Menurut maklumat daripada orang awam, mangsa lelaki dipercayai telah dibaham buaya ketika sedang menjala udang di tebing sungai.

“SAR segera dilakukan semalam dengan menjalankan pemantauan dari tebing sehingga jam 10.35 malam,” katanya.

Katanya, SAR ditangguhkan dan akan disambung hari ini memandangkan mangsa belum ditemui. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *