Agong berkenan melawat MUIS

SULTAN Abdullah bersama Tun Juhar Mahiruddin (dua dari kiri) dan Mohd Shafie (dua dari kanan) berkenan bergambar ramai ketika berangkat melawat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat melawat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini, hari ini.

Baginda di MUIS pada jam 9.55 pagi dan turut mengiringi keberangkatan ialah Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Keberangkatan tiba Sultan Abdullah dimulakan dengan sesi taklimat disampaikan oleh Yang Dipertua MUIS, Datuk Dr Hasbullah Taha, diikuti acara santapan.

Baginda meluangkan masa selama sejam di MUIS dan selepas acara santapan, Sultan Abdullah berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri, Kota Kinabalu.

Hari ini, dalam majlis berasingan, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, berangkat melawat Galeri Artisan iaitu Galeri Batik Sabah pada 10 pagi di Menara Tun Mustapha, Jalan Sulaman.

SULTAN Abdullah diiringi Tun Juhar Mahiruddin ketika berangkat pulang selepas berkenan melakukan lawatan ke Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). – Foto BERNAMA

Ini adalah lawatan sulung baginda berdua ke Sabah selepas Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.

Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Pahang dan negeri-negeri tidak beraja iaitu Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Baginda berdua dijadual berlepas ke Kuala Lumpur jam 4 petang hari ini selepas lawatan dua hari di sini.

Lawatan ke Sabah adalah inisiatif Yang di-Pertuan Agong sendiri, dan akan dilaksanakan secara bergilir antara Sabah dan Sarawak untuk memperkukuh ikatan silaturahim dengan penduduk di kedua-dua negeri itu. – BERNAMA

265