Sabah boleh manfaatkan kewujudan WIEF

MOHD Shafie (kiri) bersalaman dengan Musa ketika kunjungan hormat di pejabanya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di Kota Kinabalu. – Foto IHSAN JABATAN KETUA MENTERI.

KOTA KINABALU: Sabah boleh mengambil peluang kewujudan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) untuk menarik pelaburan usahawan Islam dari seluruh dunia bagi mengembangkan aktiviti ekonomi dan perdagangannya.

Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam, berkata negeri ini memiliki banyak sumber yang boleh dimanfaatkan bagi menarik kehadiran pelabur dan WIEF sedia membantu dari segi hubungannya dengan ramai usahawan dari seluruh dunia.

“Kemungkinan Sabah mahu mengambil peluang kehadiran kami (WIEF) dan hubungannya dengan dunia. Kita juga akan lihat apa yang boleh dilakukan, apa yang Sabah minat dan saya dapat bayangan bahawa Ketua Menteri sangat tertarik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Musa berkata, pertemuan selama kira-kira sejam itu antara lain memaklumkan mengenai kewujudan WIEF dan bagaimana ia boleh membantu mengembangkan perdagangan dan ekonomi menerusi rangkaian usahawan dimilikinya di seluruh dunia.

Katanya, WIEF sebuah badan yang menumpukan kepada perniagaan, pelaburan dan perdagangan serta pembangunan antarabangsa menerusi penganjuran pelbagai forum serta persidangan di seluruh dunia.

“Sebelum ini kita pernah mengadakan persidangan di Sarawak, Johor dan Kuala Lumpur, selain pelbagai tempat di seluruh dunia. Kita diterima dengan baik termasuk di luar negara seperti di London, Pakistan, Afrika Selatan dan malah di Moscow serta Jakarta.

“Sudah beribu yang hadir dan mengambil bahagian serta mendapat keuntungan daripada hubungan kita di seluruh dunia. Ia sangat berguna untuk bincang dan berhubung dalam perdagangan serta pelaburan dan yang pentingnya orang sudah tahu kita, forum kita, malah ramai ketua kerajaan menyertainya,” katanya.

Ditanya sama ada forum WIEF yang dijadualkan pada tahun ini akan diadakan di Sabah, beliau berkata, perkara itu belum dapat diumumkan kerana pihaknya belum membuat keputusan rasmi mengenainya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *