Pemandu mabuk sebabkan 4 kematian dipenjara 17 tahun, denda RM39,000

Olivia Chong Oi Yun (berkaca mata) dihukum penjara 17 tahun dan denda RM39,000 oleh Mahkamah Sesyen di Tawau, hari ini. – NSTP/Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Seorang eksekutif wanita dihukum penjara 17 tahun dan denda RM39,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian empat lelaki di Jalan Chong Thien Vun, Julai tahun lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Olivia Chong Oi Yun, 35, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir perbicaraan.

Tertuduh menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan empat kematian dan mengakibatkan kecederaan parah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kereta jenis Toyota Vios di hadapan Pusat Komersial BDC (1 Arena), Jalan Chong Thien Vun, di sini, pada jam 1.20 pagi 8 Julai tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan kedua pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM19,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskannya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan, selain lesen memandu tertuduh dibatalkan selama 10 tahun.

Sejurus hukuman dijatuhkan, tertuduh yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan menitiskan air mata, manakala ahli keluarganya yang hadir turut menangis.

Seramai 17 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan, termasuk tertuduh, dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding dengan tertuduh kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 12 Julai 2018.

Awang Kerisnada ketika penghakimannya berhujah, dalam melaksanakan hukuman itu, pihaknya mengambil kira rayuan tertuduh, fakta dan dapatan dalam perbicaraan, namun yang menjadi keutamaan ialah faktor kepentingan awam.

“Tertuduh amat tidak bertanggungjawab dan disebabkan perbuatannya minum minuman beralkohol sehingga mabuk serta melebihi had dibenarkan oleh undang-undang.

“Kemalangan berkenaan berlaku jam 1.20 pagi di mana pada masa itu, tidak banyak kereta di jalan raya dan dalam kes ini ada lima mangsa, iaitu empat terbunuh serta seorang cedera teruk.

“Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang mewakili kepentingan awam, selain keluarga mangsa yang sudah kehilangan anak dan suami disebabkan kemalangan,” katanya.

Mahkamah turut menolak permohonan penangguhan hukuman penjara dikemukakan peguam tertuduh, Abdul Ghani Zelika.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan.

Dalam kemalangan berkenaan, empat yang maut ialah Hiew Nyuk Wei, 30; Clawence Wong Vun Kit, 21; Dicson Lim Kien Shing, 16; dan Chong Wei Chan, 21, sementara seorang lagi mangsa, Chin Guan Xiong, 21, patah kaki.- Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *