Kumpulan curi kenderaan tumpas

GAMBAR HIASAN

TUARAN: Polis menumpaskan kumpulan disyaki aktif mencuri kenderaan dengan tertangkapnya lima suspek termasuk dua wanita dalam dua serbuan di daerah ini, semalam.

Semua suspek berusia 14 sehingga 34 tahun ditahan pada jam 7 pagi, di pekan Tamparuli dan di Kampung Roun, Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata siasatan awal mendapati kumpulan ini aktif melarikan kenderaan yang diparkir di tepi jalan dan kawasan perumahan di daerah ini.

“Kumpulan ini menyasarkan mangsa yang tidur di tepi jalan atau stesen minyak sebelum bertindak melarikan kenderaan mangsa.

“Penahanan semua suspek, polis dapat menyelesaikan beberapa kes kecurian kenderaan daerah ini,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, antara barangan yang dirampas iaitu buku akaun bank, pemegang kad dan beg sandang.

“Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut termasuk mengenal pasti jika ada individu lain yang terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Sehubungan itu, Dzulbaharin memohon kerjasama orang ramai di daerah ini agar menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di talian 088-791933, 088-791966 dan 088-791977. – Berita Harian

261