Lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Padas

PERALATAN memancing yang digunakan mangsa. (Gambar kecil) Pasukan penyelamat memulakan operasi mencari dan menyelamat FOTO Ihsan APM

BEAUFORT: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di tebing Sungai Padas dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Romy Parelera, 30-an, dikatakan memancing bersama beberapa rakan sejak lewat petang sebelum dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Hasbullah Nenggok, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.08 malam sebelum menghantar sepasukan anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah penyelamatan di permukaan di sekitar lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 11.59 malam tadi berikutan keadaan gelap.

“Operasi pencarian akan disambung semula pada pagi ini di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang serta lokasi berhampiran,” katanya.

Operasi itu turut disertai sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort serta polis. – Berita Harian

264