Penjalan Kaki Mangsa Kemalangan Di Bukit Padang Meninggal Dunia Awal Pagi Tadi

Pejalan kaki wanita meninggal dunia awal pagi tadi akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan di bulatan Tun Fuad, Bukit Padang kelmarin. – Gambar Ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Pejalan kaki yang menjadi mangsa kemalangan jalan raya melibatkan lima buah kenderaan di bulatan Tun Fuad, Jalan Bukit Padang, petang kelmarin, meninggal dunia awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata mangsa seorang warga Indonesia berumur dalam lingkungan 20 hingga 24 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dua oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.

“Siasatan polis di tempat kejadian mendapati bahawa, pemandu kenderaan jenis Lori Nissan Dump Truck 10 tan tanpa muatan itu sedang menuruni bukit lalu hilang kawalan sehingga berlakunya kemalangan melibatkan empat buah kenderaan lain,” katanya.

Pejalan kaki wanita yang kebetulan berada di kawasan berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat kemalangan tersebut.

Manakala, pemandu serta penumpang lori yang berumur 30 tahun pula mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan menerima rawatan di HQE Dua.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Habibi berkata maklumat penuh mangsa pejalan kaki tersebut masih belum diketahui.

Tambahnya kemalangan tersebut yang melibatkan sebuah lori, Toyata Avanza, Subaru, Toyota Vios dan Toyota Vigo itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan iaitu memandu dalam keadaan melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Sementara itu, beliau menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu di beberapa laluan di Kota Kinabalu yang dikenal pasti kerap berlakunya kemalangan.

“Kajian menunjukkan kes kemalangan jalan raya berpunya daripada sikap pengguna jalan raya sehingga membahayakan dan meragut nyawa diri sendiri serta pengguna jalan raya lain selain faktor teknikal pada kenderaan yang kurang diselenggara,” jelasnya. -SabahNewsToday

Berita Asal : https://www.sabahnewstoday.com/pejalan-kaki-mangsa-kemalangan-di-bukit-padang-meninggal-dunia-awal-pagi-tadi/