Sabah yakin capai sasaran empat juta pelawat tahun ini

Christina Liew ketika berucap sesi B2B di antara Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Sabah dan pengusaha pelancongan ASEAN, di sini hari ini.

KOTA KINABALU, 23 Feb – Sabah yakin ia di landasan tepat untuk mencapai sasaran empat juta pelawat tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata kerajaan menyusun pelbagai strategi ke arah itu termasuk meneroka pasaran Eropah.

“Kami akan ke Berlin, Jerman pada Mac ini. Sebagai pintu masuk ke Eropah, kami mahu lihat lebih ramai pelancong dari rantau itu ke negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sesi B2B di antara Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Sabah dan pengusaha pelancongan ASEAN, di sini hari ini.

Selain itu katanya Sabah juga akan memberi perhatian kepada usaha menarik pelawat dari negara-negara ASEAN bagi mengimbangi kedatangan pelancong China yang semakin meningkat.

“Kami juga bercadang meneroka pasaran Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea,” katanya.

Tahun lepas Sabah merekodkan 1.36 juta ketibaan antarabangsa dan 2.52 juta ketibaan domestik, iaitu masing-masing meningkat 10.2 peratus dan 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Presiden MATTA Sabah Datuk KL Tan berkata Sabah akan mewakili Malaysia pada ITB Berlin 2019 yang akan berlangsung dari 6 hingga 10 Mac ini.

Sebanyak 28 pemain industri dari Malaysia akan ke pameran pelancongan utama dunia itu, katanya.

Sesi B2B itu disertai oleh lebih 30 pengusaha pelancongan dari negara-negara ASEAN yang dibawa khusus bagi mengalami sendiri keunikan produk pelancongan Sabah.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *