Tiada lantikan syarikat, individu urus dokumentasi pekerja asing di Sabah

TAWAU, 22 Feb – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menafikan ada melantik atau memberi kuasa kepada sebuah syarikat di daerah ini, menjalankan urusan berkaitan dokumentasi pekerja warga asing atau individu tanpa dokumen kata Pengarahnya, Datuk Musa Sulaiman.

“Kami akan siasat syarikat yang mengaku mempunyai kebenaran mendokumentasi rakyat asing ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan terdapat sebuah syarikat di Tawau menjalankan kegiatan mendokumentasi pekerja asing untuk sektor kilang, ladang, pembinaan, pertanian serta perkhidmatan di negeri ini.

Sehubungan itu, Musa mengingatkan semua rakyat asing di negeri tidak terpedaya dengan syarikat yang menawarkan perkhidmatan mendokumentasi pekerja asing.

Januari lepas, Ketua Perwakilan Indonesia di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo meminta warganegara Indonesia yang berada di Sabah tidak terpedaya dengan tawaran bantuan pengurusan pendaftaran program pengampunan dan pemutihan pati.

Pada bulan sama, polis tawau menggagalkan satu sindiket di Tawau, cuba menipu berkaitan pengurusan kad pekerja warga asing dan individu tanpa pengenalan diri untuk bekerja di Sabah.

Dalam kes terbabit, polis menahan sembilan kakitangan sebuah syarikat terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita berumur antara 20 hingga 65 tahun bagi siasatan lanjut.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *