Beli Kereta Melalui Iklan Di Facebook, Lelaki Rugi RM2,800

GAMBAR HIASAN

Bayar RM2,800, tapi senyap je…

SEORANG jurujual kenderaan sambilan ditahan polis, kelmarin kerana menipu pembeli dalam urusan jual beli kereta membabitkan kerugian RM2,800.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan mendapati mangsa iaitu lelaki berusia 30-an terbaca iklan menjual kereta Perodua Viva dalam laman sosial Facebook pada 12 November, tahun lalu.

“Mangsa kemudian menghubungi jurujual kereta terbabit dan suspek meminta mangsa membayar wang pendahuluan RM3,000.

“Pada 13 November tahun lalu, mangsa memasukkan wang pada akaun jurujual (suspek) sebanyak RM2,800. Bagaimanapun selepas beberapa bulan mangsa belum menerima apa-apa jawapan daripada suspek.

“Menyedari ditipu, mangsa meminta supaya suspek memulangkan wangnya, tetapi suspek tidak berbuat demikian menyebabkan mangsa membuat laporan polis pada 14 Februari lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa, sepasukan polis menahan jurujual berkenaan, kelmarin.

Beliau berkata, suspek berusia 29 tahun itu kini direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Sehubungan itu, saya menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila membeli kereta melalui laman sosial Facebook bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya.

Sementara itu, mengenai indeks jenayah IPD Penampang, beliau berkata, Indeks jenayah bagi tempoh awal Januari hingga semalam menunjukkan peningkatan sebanyak 31 kes atau 4.6 peratus berbanding bagi tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan ini adalah normal kerana daerah ini sedang pesat membangun. Lebih-lebih lagi bersempadanan dengan ibu negeri Sabah iaitu Kota Kinabalu.

“Namun itu bukan alasan dan kami sentiasa bertekad untuk melaksanakan kerja kepolisian bagi memastikan penduduk di daerah ini hidup dalam keadaan aman dan dapat menjalankan tugas seharian dengan selesa,” katanya. – Harian Metro