Waktu operasi UTC Sabah, Sarawak dipinda

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan meminda waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Sabah dan Sarawak, berkuat kuasa 4 Mac ini.

Menterinya, Lim Guan Eng, berkata pindaan masa operasi itu dibuat selepas mengambil kira faktor permintaan dan langkah penjimatan kerajaan termasuk maklum balas orang ramai.

Walaupun pertukaran waktu operasi ini dibuat sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan, beliau berkata, UTC tetap beroperasi tujuh hari seminggu kecuali cuti umum bagi memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

“Hasil mengoptimumkan waktu operasi UTC ini dijangka memberikan penjimatan RM2.1 juta kepada kerajaan.

“Waktu operasi UTC akan dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan permintaan rakyat dipenuhi dan pada masa sama perbelanjaan kerajaan dibuat secara efisien tanpa pembaziran waktu dan tenaga serta wang rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mulai 4 Mac ini, UTC di Kota Kinabalu, Tawau dan Keningau beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 7 malam Isnin hingga Jumaat) dan rehat untuk solat Jumaat (11.30 pagi hingga 2 petang) manakala bagi Sabtu dan Ahad operasi bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Waktu operasi sama turut terpakai di tiga UTC di Sarawak iaitu Kuching, Miri dan Sibu kecuali waktu rehat bagi solat Jumaat bermula jam 11.45 pagi hingga 21.5 petang.

Waktu operasi bagi 16 UTC yang lain di seluruh negara dikekalkan.

Bagi UTC di Shah Alam (Selangor), Keramat (Kuala Lumpur) dan Seremban (Negeri Sembilan), waktu operasi bermula jam 1 tengah hari hingga 10 malam (Isnin hingga Khamis) manakala Jumaat bermula jam 2.45 petang hingga 10 malam serta Sabtu dan Ahad (8 pagi hingga 5 petang).

Waktu operasi sama terpakai di UTC Alor Setar (Kedah), Johor Bahru (Johor), Kota Bharu (Kelantan) dan Kuala Terengganu (Terengganu).

Bagi UTC Labuan pula, waktu operasi ditetapkan jam 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Ahad) selain waktu rehat solat Jumaat jam 11.30 pagi hingga 2 petang.

Bagi UTC di Kangar (Perlis), Sungai Petani (Kedah), Ipoh (Perak), Pudu Sentral (Kuala Lumpur), Sentul (Kuala Lumpur), Bandaraya Melaka (Melaka), Pasir Gudang (Johor) dan Kuantan (Pahang), waktu operasi ditetapkan pada jam 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Ahad) dan rehat solat Jumaat pula jam 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang. – Berita Harian