Penunggang parah, pembonceng cedera motosikal langgar lembu

SEORANG penunggang parah manakala pembonceng cedera ringan apabila motosikal dinaiki mereka melanggar seekor lembu di Jalan Bolong Tambalang, malam tadi. – Foto Recqueal Raimi

TUARAN: Seorang penunggang parah manakala pemboncengnya hanya cedera ringan apabila motosikal dinaiki mereka melanggar seekor lembu di Jalan Bolong Tambalang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam, penunggang Muhamad Aznezam Azrul, 16, patah tangan kiri selain luka di bahagian muka dan paha kanan.

Rakan mangsa yang membonceng, Asrizal Asman, 17, hanya cedera ringan dan mereka dikejarkan ke Hospital Tuaran, untuk mendapatkan rawatan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tuaran, Paulina Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 7.05 malam sebelum menghantar tiga anggota menggunakan kenderaan utiliti Penyelamat Perubatan (MRV) ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, mangsa (penunggang) ditemui dalam keadaan terbaring di bahu kiri jalan dan tidak mampu bergerak.

“Hasil pemeriksaan paramedik dari Hospital Tuaran yang turut berada di lokasi, mangsa patah tangan kiri manakala seorang lagi hanya cedera ringan. Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital Tuaran untuk menjalani rawatan lanjut,” katanya.

Paulina berkata, menurut sumber orang awam, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha merempuh seekor daripada sekumpulan lembu yang melintas jalan di kawasan gelap.

“Operasi ditamatkan jam 9.40 malam,” katanya. – Harian Metro