664 anggota polis selia tahap keselamatan masjid seluruh Sabah

Masjid Lahad Datu

KOTA KINABALU, 19 Feb – Seramai 664 anggota polis ditempatkan di 664 masjid di 20 daerah seluruh Sabah sebagai pegawai perhubungan berperanan menyelia tahap keselamatan serta membanteras kegiatan jenayah di rumah ibadat berkenaan. 

Inisiatif yang diperkenalkan menerusi program 1Masjid 1Polis (1M1P) itu merupakan kerjasama strategik antara Polis Kontinjen Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sejak 2018.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar berkata kehadiran anggota polis di setiap masjid diharap akan dapat membendung jenayah termasuk kes pecah tabung masjid, vandalisme dan kecurian sekali gus meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Saya yakin apabila ada seorang polis ditempatkan di masjid secara tidak langsung memberi kesedaran kepada masyarakat setempat supaya tidak melakukan sebarang jenayah di kawasan itu,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Al-Quran dan melancarkan 1M1P sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah Datuk Dr Hasbullah Mohd Taha, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia cawangan Sabah Norjeli Jais dan Pengarah JHEAINS Saifulzaman Sangul.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata anggota polis terlibat dalam 1M1P perlu memantau keselamatan masjid sebanyak dua kali dalam sebulan selain berperanan memberi khidmat nasihat dalam aspek keselamatan kepada qariah dan jemaah masjid.

— BERNAMA