Peniaga daging khinzir kena parang

Rakaman video di Pasar Karamunting yang sempat dirakam pengunjung. FOTO Hazsyah Abdul Rahman

SEORANG lelaki berusia 49 tahun ditahan selepas bertindak menetak peniaga daging khinzir dalam pergaduhan di Pasar Karamunting, Sandakan, pagi semalam.

Difahamkan, kejadian jam 9.15 pagi bermula dengan pertengkaran mulut antara kedua-dua lelaki terbabit sebelum bertukar ganas.

Insiden berkenaan sempat dirakam pengunjung pasar selepas melihat suspek meluru ke gerai sayur untuk mengambil parang dan terus menyerang mangsa.

Akibat kejadian itu, mangsa berusia 39 tahun cedera di kepala, tangan dan badan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hanim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 9.30 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, kedua-dua lelaki terbabit masih berada di tempat kejadian dan polis segera menahan suspek.

“Pergaduhan hanya membabitkan dua individu dan polis masih menjalankan siasatan punca sebenar kejadian.

“Polis turut merampas sebilah parang pemotong daging yang digunakan suspek untuk menetak mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebat. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *