Shafie elak wartawan, enggan ulas kemasukan PPBM ke Sabah

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mengelak wartawan yang cuba mendapatkan komennya berhubung pengumuman PPBM melebarkan sayap ke negeri itu, hari ini.

Sejurus selesai majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Konsulat China di Sabah, Shafie bergegas ke keretanya tanpa menjawab soalan dikemukakan wartawan yang menunggunya di luar galeri.

Terdahulu, ketua menteri Sabah itu dijangka membuat kenyataan berhubung kemasukan PPBM ke Sabah.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe yang ditemui dalam majlis sama, menyifatkan kemasukan PPBM ke Sabah sebagai tindakan menikam belakang Warisan.

“Tindakan PPBM itu tidak menghormati (Warisan) kerana parti itu akan membenarkan pemimpin yang ditolak ini bangkit dan memegang jawatan dalam kerajaan,” kata Adun Luyang itu yang bimbang kemasukan PPBM akan mencetuskan pergolakan dalam politik Sabah.

Katanya, alasan PPBM untuk mengukuhkan kerajaan negeri tidak munasabah kerana ia kini berkembang dengan baik dan dalam hala tuju betul.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee dipetik Bernama sebagai mendakwa 100,000 orang daripada 25 kawasan Parlimen di Sabah akan memohon menyertai PPBM.

“Kami menjangkakan lebih ramai akan menyertai PPBM, apabila parti itu mengembangkan sayapnya secara rasmi di negeri ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ronald antara 5 ahli Parlimen, 9 Adun dan 2 senator di Sabah mengumumkan keluar Umno pada 12 Disember tahun lalu.

Seorang daripada Adun itu, Datuk Musbah Jamil (Tempasuk) sudah menyertai Warisan. – FreeMalaysiaToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *