Wanita dicekup jual nombor ekor tanpa lesen

Antara peralatan dan wang tunai dirampas daripada suspek. – FOTO Recqueal Raimi

SEORANG wanita tempatan dicekup polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan menjual nombor ekor empat digit (4D) tanpa lesen di Kampung Ulu Kukut, di sini, petang semalam.

Dalam operasi khas Pembanterasan Elemen Perjudian sempena perayaan Tahun Baru Cina bermula jam 3 petang itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM184 dan peralatan dipercayai digunakan untuk mencetak nombor 4D secara haram.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek berusia 33 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

“Sebaik menerima maklumat, polis menjalankan risikan selama beberapa hari sebelum suspek berjaya diberkas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sementara suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, antara peralatan judi dirampas ialah wang tunai, telefon bimbit dan keratan kertas berkaitan pertaruhan nombor 4D.

Zaidi berkata, polis mengalu-alukan tindakan orang ramai untuk menyalurkan maklumat sebarang aktiviti haram dilakukan di kampung masing-masing. – Harian Metro