Jijiknya perangai tunjuk ‘anu’…

SEKADAR GAMBAR HIASAN

POLIS sedang mengesan lelaki dipercayai menunjukkan kemaluannya kepada penjaga pusat futsal di dalam tandas pusat futsal itu di Membakut, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 30 tahun berhubung kelakuan lelaki yang dikenalinya itu pada Selasa lalu.

Menurut Azmir, kejadian berlaku 7.30 malam ketika mangsa sedang menyiram pokok bunga di kawasan berhampiran tandas.

“Siasatan mendedahkan, ketika kejadian mangsa melihat suspek berusia 30 tahun itu menuju ke tandas dan tidak lama kemudian, suspek memanggil nama mangsa dengan suara yang keras dan kuat dari arah tandas.

“Mangsa kemudian bertanya kenapa, tetapi suspek masih memanggilnya dengan suara yang lebih kuat dan meminta mangsa datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, mangsa datang menghampiri pintu tandas tetapi masih tidak nampak suspek yang berada di dalam tandas.

“Suspek terus memaksa mangsa supaya masuk ke dalam tandas. Mangsa kemudian menghampiri pintu tandas, namun tiba-tiba ternampak suspek sudah dalam keadaan separuh bogel.

“Seluar suspek terbuka hingga ke paha dan menunjukkan kemaluannya,” katanya.

Tambah Azmir lagi, mangsa sempat menegur perbuatan tidak sopan suspek, namun tidak diendahkannya malah suspek cuba menghampiri mangsa.

“Mangsa terus bertindak melarikan diri dan memanggil majikannya yang berada di rumah yang terletak di kawasan itu juga.

“Majikan mangsa melihat ke bawah melalui tingkap dan menjerit ke arah suspek sebelum suspek terus melarikan diri meninggalkan tempat itu dengan menaiki motosikal,” katanya.

Azmir berkata, ketika kejadian tiada saksi lain kerana hanya mangsa dan suspek saja berada di tempat itu, manakala majikannya pula berada di rumahnya.

“Usaha mengesan lelaki itu giat dilakukan dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya. – Harian Metro