‘Terima kasih rakyat Malaysia’

ISMAIYUN Matayasin, 41, tidak dapat menahan kesedihan samasa menceritakan penderitaan anaknya yang disahkan menghidap kanser Immature Teratoma tahab 3 dan radang selaput otak dan kini di rawat di Hospital Queen Elizabeth.

KISAH penderitaan Nurinsyirah Nasir yang memerlukan bantuan wang untuk menampung kos ubat radang selaput otak seperti yang dilaporkan Harian Metro, Ahad lalu, mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Menurut ibunya, Ismaiyun Matayasin, 41, sehingga kini mereka menerima sumbangan mencecah RM25,000 iaitu lebih daripada mencukupi bagi menampung kos pembelian ubat sebanyak RM12,000.

“Terima kasih atas sumbangan bantuan yang disalurkan. Saya sangat bersyukur dan semoga dengan doa daripada orang ramai, anak saya akan sembuh.

“Sumbangan itu disampaikan oleh orang ramai yang datang sendiri ke wad dan pada mulanya saya sangsi tetapi rupanya mereka mendapat tahu mengenainya daripada Harian Metro,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di Kota Kinabalu, hari ini.

ISMAIYUN Matayasin, 41, bersama anaknya, Nurinsyirah Nasir, 16, yang disahkan menghidap kanser Immature Teratoma tahap 3 dan radang selaput otak dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth. FOTO NSTP

Ismaiyun berkata, selain menerima kunjungan pelawat di wad, dia juga turut berterima kasih kepada mereka yang menyumbang melalui pemindahan wang di bank seperti yang dilihat dalam ruangan komen di Facebook Harian Metro.

“Alhamdulillah terima kasih untuk semua rakyat Malaysia yang telah menyumbang wang itu.

“Selebihnya saya akan digunakan untuk keperluan harian anak saya kerana mungkin dia akan berada di hospital dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai keadaan anaknya, Ismaiyun berkata, Nurinsyirah, 16, masih dalam keadaan separa sedar walaupun sudah menjalani rawatan kemoterapi Selasa lalu dan ubat yang diperlukan sudah digunakan.

“Anak saya masih perlu menjalani 11 sesi kemoterapi lagi selepas ini dan ubat yang dibeli untuk radang selaput otak juga sudah dimasukkan ke dalam badan.

“Sebahagian ubat itu (tiga botol lagi) akan digunakan selepas ini. Malah anak saya mungkin akan dibedah sekali lagi untuk buang ovari sebelah kiri bagi mengelak berlaku jangkitan kuman,” katanya.

Katanya, dia tidak akan berputus asa untuk berada di sisi anaknya supaya dia kembali sembuh dan aktif seperti dulu.

Terdahulu, Harian Metro melalui ruangan Metro Prihatin melaporkan Nurinsyirah disahkan menghidap kanser Immature Teratoma tahap tiga dan radang selaput otak serta dirawat di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1).

Ismaiyun memerlukan wang untuk membeli ubat radang selaput otak yang bernilai RM6,000 setiap satu botol. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *