Pemandu maut, rakan parah dalam kemalangan di Jalan Bingkor

Keadaan kereta Proton Saga selepas bertembung di Jalan Bingkor By-Pass awal pagi hari ini. – Gambar Ihsan Pembaca

KENINGAU, 31 Jan – Seorang pemuda maut manakala rakannya cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda di Jalan Bingkor By-Pass dekat sini hari ini.

Ketua Polis Keningau DSP Shahrudin Mat Husain berkata mangsa, pemandu kereta jenis Proton Saga dikenali sebagai Azmin Aviu, 35, maut di tempat kejadian, manakala rakannya Melson Saperi, 27, mengalami cedera parah.

Beliau berkata pemandu kereta pacuan empat roda jenis Toyata Hilux, seorang wanita berumur 54 tahun tidak mengalami kecederaan.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 7.51 pagi itu, kereta pacuan empat roda berkenaan hilang  kawalan lalu memasuki jalan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu mangsa. 

Menurutnya, Melson yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke Hospital Daerah Keningau dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Shahrudin berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

— BERNAMA

Keadaan kereta pacuan empat roda selepas bertembung di Jalan Bingkor By-Pass awal pagi hari ini. – Gambar Ihsan Pembaca
Anggota bomba dan penyelamat ketia usaha mengeluarkan mangsa kemalanga di Jalan Bingkor By-Pass, Keningau
739