Polis dedah identiti suspek tetak warga Australia

Pihak polis memburu suspek yang menetak seorang warga Australia berhampiran Kampung Kiwoi, Tamparuli pada 24 Januari lalu. – Foto ihsan PDRM

TUARAN: Polis hari ini mendedahkan identiti dan gambar suspek yang diburu selepas menetak seorang warga Australia sehingga menyebabkan kecederaan parah berhampiran Kampung Kiwoi, Tamparuli, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata suspek warga Filipina yang tiada dokumen pengenalan diri itu dikenali sebagai Roy dan berusia 30-an.

Gambar suspek yang dikenali sebagai Roy. Gambar SNT/Ehsan IPD Tuaran

“Setakat ini, polis masih giat mengesan suspek dan orang ramai diminta segera menghubungi pegawai penyiasat di talian 088-791933, 088-791966, 088-791977 atau tampil ke balai polis berhampiran jika ternampak suspek,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati suspek menggunakan pedang samurai untuk menetak mangsa dan bukannya parang seperti yang dipercayai sebelum ini.

Difahamkan, mangsa, Daniel Boardhurst, 46, yang juga pengusaha rumah penginapan di kampung berkenaan kini dilaporkan stabil namun masih menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu.

Dalam kejadian 2.50 petang, Khamis lalu, suspek berang dan bertindak mengejar mangsa menggunakan pedang samurai dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mereka.

Mangsa cuba melarikan diri untuk meminta pertolongan namun kedudukan lokasi kejadian yang sunyi dan dikelilingi hutan menyebabkan dia tidak sempat lari lalu ditetak di kedua-dua lengan dan belakang kepala. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *