Sektor pendidikan agenda utama Sabah – Mohd Shafie

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 24 Jan – Sabah komited memberi fokus kepada sektor pendidikan sebagai agenda utama negeri ke arah melahirkan lebih ramai anak Sabah berpendidikan tinggi sekali gus menjadi modal insan berkualiti serta berkemahiran yang berperanan dalam memacu kemajuan negeri pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata komitmen dan kerjasama komprehensif daripada institusi pendidikan, tenaga pengajar serta ibu bapa perlu digarap bagi membentuk satu gerakan bersepadu memastikan agenda memperkasa serta mencemerlangkan sektor pendidikan di Sabah tercapai.

Beliau berkata ini termasuk memastikan sistem dan kandungan pendidikan sentiasa tersusun serta mengikut keperluan pasaran pekerjaan selain selari dengan perubahan global dan teknologi semasa.

“Sektor pendidikan di Sabah mesti menjadi ‘mass movement’ (gerakan bersepadu) dan ia tidak boleh dianggap kecil sebaliknya perlu dijadikan sebagai agenda utama dalam usaha memastikan Sabah menikmati pembangunan pesat dan rakyatnya mempunyai ilmu pendidikan tinggi dan nilai,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan One-Off Yayasan Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk KY Mustafa, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria dan Naib Canselor UMS Datuk D Kamarudin D Mudin.

Mohd Shafie berkata usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan lebih banyak kolej teknikal dan vokasional juga merupakan antara komitmen memastikan bidang pengajian diambil para pelajar Sabah memenuhi permintaan serta keperluan industri yang ingin dibangunkan di negeri ini.

“Modal insan Sabah berilmu dan berkemahiran adalah penting untuk memastikan mereka menjadi tenaga kerja yang mempunyai keupayaan mengurus kekayaan dimiliki Sabah dengan baik demi manfaat rakyat,” katanya.

Mengenai majlis berkenaan, Mohd Shafie berkata, ia adalah usaha kerajaan negeri menerusi Kumpulan Yayasan Sabah bagi membantu pelajar terutama dalam kalangan B40 di kawasan bandar melanjutkan pelajaran dan meringankan beban ditanggung keluarga untuk membiayai kos pendidikan.

Seramai 1,300 pelajar UMS dan sekolah menengah sekitar Kota Kinabalu menerima bantuan one-off atau sekali daripada Yayasan Sabah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.060 juta.

Daripada jumlah itu, seramai 1,000 pelajar UMS menerima bantuan RM1,000 manakala selebihnya iaitu 300 orang ialah pelajar golongan B40 dari 10 buah sekolah menengah yang menerima bantuan balik sekolah RM200.

Bantuan pendidikan itu merupakan sebahagian daripada Bantuan Biasiswa One-Off berjumlah RM10 juta dilancarkan kerajaan negeri pada Sept tahun lepas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *