Majlis Raja-Raja selesai pilih Yang di-Pertuan Agong ke-16

Kenderaan rasmi yang membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar tiba di pekarangan pintu utama Istana Negara untuk menghadiri mesyuarat khas memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. – NSTP/Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu berangkat pulang meninggalkan Istana Negara selepas selesai menghadiri mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Kenderaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang pertama dilihat meninggalkan Istana Negara diikuti Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada jam 12.50 tengah hari.

Kenderaan membawa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meninggalkan Istana negara 10 minit kemudian.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang terakhir meninggalkan Istana Negara.

Mesyuarat khas dipengerusikan Sultan Mizan itu bagaimanapun tidak dihadiri Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja berlangsung di Istana Negara pada jam 11.15 pagi diadakan bagi membuat pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16, susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu. – Berita Harian

Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar (dua, kiri) bersama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (dua, kanan) berangkat pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. – Foto BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *