Lori Pembancuh Simen Terbabas; Dua Lelaki, Seorang Perempuan Maut Di Pahu, Kiulu

Mayat mangsa yang meninggal di tempat kejadian ditutup dengan plastik. Gambar SNT/Ehsan Polis Tuaran

TUARAN: Dua lelaki dan seorang perempuan maut dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori pembancuh simen di Jalan Kampung Pahu Sinopukan Kiulu hari ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superitendan Dzulbaharin Ismail berkata kemalangan tersebut berlaku apabila lori pembancuh simen yang dinaiki seramai enam individu terbabas dengan sendiri.

Kemalangan maut itu berlaku lebih kurang pukul 1.30 petang.

Gambar yang diambil oleh penduduk kampung menunjukkan salah seorang mangsa mengalami kecederaan. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

“Dalam kemalangan tersebut terdapat enam orang mangsa iaitu seorang pemandu dan lima orang penumpang.

“Tiga orang mangsa yang terdiri daripada seorang perempuan dan dua orang lelaki dewasa telah meninggal dunia. Manakala tiga orang mangsa lain mengalami cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Keadaan Lori Pembancuh Simen selepas terbalik beberapa kali ketika kejadian. Gambar SNT/Ehsan Polis Tuaran

Dzulbaharin berkata lima orang penumpang dan pemandu lori tersebut merupakan pekerja buruh projek jalanraya Kiulu – Rondoggung.

Jelasnya siasatan awal mendapati ketika menuruni bukit, lori tersebut telah hilang kawalan dan merempuh kaki bukit lalu terbabas serta terbalik beberapa kali sejauh lebih kurang 70 meter.

“Dua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital Tuaran.

“Tiga mangsa lain yang mengalami cedera parah masih menerima rawatan lanjut di hospital Tuaran,” jelasnya.

Tambahnya kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -SabahNewsToday

Artikel Asal : https://www.sabahnewstoday.com/lori-pembancuh-simen-terbabas-dua-lelaki-seorang-perempuan-maut-di-pahu-kiulu/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *