KOTA KINABALU: Pihak pengurusan Growball Cinemax mengesahkan rakaman video tikus turun naik atas bangku kosong yang tular berlaku di salah sebuah dewan tayangan miliknya.
Pihak Growball Cinemax mengakui telah mengambil kira dari pelbagai aspek termasuk cadangan dan saranan netizen serta kecaman yang diterima melalui ruangan komen di laman sosial mengenai perkara itu.
Hal ini dinyatakan kepada SabahNewsToday hari ini ketika membuat maklumbalas terhadap video “tikus yang kelihatan haus dalam pawagam jenis cineplex yang pertama di Sabah 15 tahun lalu.
Video selama 10 saat itu dipercayai dirakam oleh salah seorang penonton.
“Untuk makluman, pihak kita memang menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan kita juga memanggil khidmat kawalan serangga perosak (pest control) untuk mengawal serta mencegah haiwan perosak termasuk tikus ini secara berjadual.
“Namun, sekiranya kejadian seumpama berlaku lagi pihak kita akan memanggil semula khidmat kawalan serangga perosak ini meskipun perkhidmatan ‘pest-control’ memang dilakukan lebih dari sekali dalam tempoh sebulan,” kata jurucakap Growball Cinemax kepada SabahNewsToday.
Difahamkan, pihak Growball Cinemax juga ada memasang perangkap tikus di beberapa lokasi sekitar tingkat lapan dan tingkat enam pawagam terbabit.
Jurucakap pengurusan itu ketika ditemui hari ini berkata kerja pembersihan dan penyeliaan pawagam memang dibuat sebagai rutin harian penjaga dan petugas pembersihan.
“Selain dari itu, pihak kami juga menegaskan bahawa kerjasama daripada penonton juga amat penting dalam memastikan kebersihan pawagam ini.
“Kita mengutamakan keselesaan penonton untuk menikmati filem pilihan mereka dengan pengalaman yang baik sepanjang berada didalam dewan tayangan,” katanya.
Beliau juga berkata usaha menjaga kebersihan di dalam pawagam ini bukan hanya terletak pada pihak pengurusan malah kerjasama dari pengunjung itu sendiri juga penting untuk mengekalkan kebersihan dalam pawagam.
Selain itu, kerja pembersihan dan penyeliaan serta penambahbaikan perkhidmatan Growball Cinemax ini memang dijalankan dari semasa ke semasa sejak pembukaannya pada 2004 lagi.
Tambahnya lagi, pihak pengurusan Growball Cinemax juga kini membuat banyak perubahan demi keselesaan pengunjung yang datang untuk mendapatkan hiburan di sini.
“Kita juga telah membuat penambahbaikan untuk memberikan keselesaan kepada pengunjung seperti menambah sebuah kafe baharu berkonsepkan santai iaitu ‘Growball Cafe’ dimana kafe ini menawarkan minuman kopi yang dibancuh menggunakan mesin dan pelbagai variasi makanan ringan seperti wafel dan sandwic selain dari kafe terdahulu,’E-Cafe’.
“Kita juga telah memperluaskan kawasan menunggu serta memperbanyakkan tempat duduk agar memudahkan pengunjung duduk sementara menunggu pintu dewan tayangan dibuka,” katanya.
KESEDARAN SIVIK PENGUNJUNG PENTING
Menurutnya lagi, sikap serta kesedaran sivik pengunjung juga penting bagi memastikan perkhidmatan yang sediakan di sini kekal terjaga agar boleh dinikmati oleh pengunjung seterusnya.
“Dengan adanya kerjasama serta sikap mematuhi etika kebersihan yang ditetapkan di sini maka kami percaya segala kemudahan serta fasiliti yang disediakan di sini dapat bertahan dalam tempoh lebih panjang,” tambahnya.
Justeru, pihak Growball Cinemax juga berharap agar pengunjung dapat menerima baik apa yang disarankan pihak pengurusan termasuk membawa keluar sampah dan membuangnya kedalam tong sampah yang disediakan dipintu masuk dewan tayangan selain bersama-sama menjaga kebersihan sekitar pusat hiburan keluarga yang terkenal di bandaraya ini.
-SabahNewsToday