Filipina bantu kesan 18 suspek jenayah rentas sempadan dikehendaki malaysia

PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

SEMPORNA, 17 Jan РMalaysia dibantu Filipina untuk memantau pergerakan 18 suspek warga Filipina yang tersenarai sebagai dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) kerana dipercayai aktif terlibat dalam aktiviti jenayah rentas sempadan di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata kesemua suspek kini dikesan berada di Filipina dan pergerakan mereka sedang diawasi rakan di Filipina.

“Pergerakan mereka (suspek) di negara jiran dapat di kesan dan ‘rakan’ kita sentiasa memaklumkan perkembangan pergerakan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program kepolisan komuniti: polis dan masyarakat berpisah tiada, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, ESSCom mengeluarkan senarai terkini 18 suspek dikehendaki termasuk ketua kumpulan Abu Sayyaf yang aktif merancang beberapa kes jenayah rentas sempadan melibatkan kawasan perairan di Zon Selamat Timur Sabah.

ESSCom dalam kenyataannya sebelum ini berkata kesemua suspek masih bergiat aktif dan tidak pernah ditahan.

Sementara itu, Omar berkata pihaknya telah memperkasakan penugasan polis pada tahun ini agar selari dengan usaha menangani jenayah rentas sempadan termasuk pencerobohan, penculikan serta penyeludupan yang dilakukan oleh kumpulan tertentu yang memasuki perairan negara.

“Dalam hal ini, ESSCom mempertingkatkan rondaan kehadiran pasukan keselamatan di perairan ESSZone, dan turut dibantu elemen dalam Polis Diraja Malaysia.

“Di samping ketua polis daerah juga berperanan mengatur gerak aset dan anggota di kawasan strategik untuk rondaan,” katanya sehingga hari ini masih terdapat beberapa percubaan penjenayah melakukan jenayah rentas sempadan di ESSZone tetapi berjaya dikekang sekali gus digagalkan.

Mengulas mengenai program hari ini, Omar berkata penglibatan masyarkat menjadi mata dan telinga kepada polis merupakan strategi ampuh untuk menangani jenayah.

Beliau dalam pada itu berkata semua Ketua Anak Negeri, Ketua-Ketua Kampung, pemimpin masyarakat serta seluruh rakyat Sabah memiliki kuasa untuk menangkap individu yang didapati melakukan kesalahan di depan mata dan diserahkan kepada pihak polis.

“Kesemua kuasa tangkapan ini ada diperuntukkan kepada orang awam seperti dinyatakan dalam Seksyen 11, 13, 14, 15, 16, 23, 24 serta 27 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Namun katanya orang awam tidak dibenarkan mencederakan penjenayah dan jika terjadi boleh didakwa di mahkamah kerana mengambil tindakan melampau.

— BERNAMA

399