11 penduduk dipindahkan akibat banjir kilat

Foto Ihsan Pembaca


KINABATANGAN: Seramai 11 orang membabitkan dua keluarga dari Kampung Gomantong Jaya, dekat sini, terpaksa berpindah ke rumah saudara-mara selepas kediaman mereka digenangi banjir kilat, petang semalam.

Banjir disebabkan hujan lebat berterusan itu turut menjejaskan Kampung Suan Lamba, namun tiada penduduk dipindahkan.

Ketua Zon Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Leftenan Ahmad Roslan Mohd Kamel, berkata kedua-dua kampung itu dilaporkan dinaiki air pada jam 3.10 petang sebelum anggota APM dihantar bagi melakukan pemantauan serta membantu penduduk yang terjejas.

“Anggota APM Kinabatangan turut dihantar ke Kampung Gomantong Jaya untuk membantu penduduk memindahkan barang mereka ke kedudukan selamat selepas rumah dinaiki air.

“Seramai 11 penduduk daripada dua keluarga terpaksa berpindah ke rumah saudara-mara, namun tiada pusat pemindahan sementara dibuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Roslan berkata, keadaan di dua kampung berkenaan hari ini dilaporkan semakin baik, namun keadaan cuaca mendung.

“Pemantauan APM Kinabatangan sejak jam 8 pagi hingga 12 tengah hari tadi mendapati, jalan raya di lokasi berkenaan sudah tidak dilimpahi air.

“Bagaimanapun, kita akan terus melakukan pemantauan dan meminta penduduk supaya sentiasa berjaga-jaga dan berpindah segera jika kawasan rumah dinaiki air,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *