42 ditahan berkaitan dadah di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 42 individu termasuk 13 warga asing atas kesalahan berkaitan dadah di daerah ini dalam tempoh seminggu antara 27 Disember hingga 3 Januari lalu.

Antara yang dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk dokumentasi. Seramai 16 orang ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri dan terlibat dalam jenayah. Gambar Ehsan IPD Kota Kinabalu

Semua suspek berusia 16 hingga 43 tahun itu ditahan di beberapa lokasi dalam operasi membanteras dadah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata seramai 12 individu ditahan atas kesalahan memiliki dadah, manakala 30 lagi didapati positif pelbagai jenis dadah berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan.

“Daripada 42 tangkapan itu, seramai 29 suspek adalah warga tempatan manakala 13 lagi adalah warga asing.

“Sepanjang tempoh itu, keseluruhannya polis merampas 15.95 gram dadah jenis syabu membabitkan nilai RM2,392 mengikut harga pasaran semasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut eksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Beliau berkata, IPD Kota Kinabalu akan terus memperhebat serta meningkatkan usaha bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan sekitar daerah ini demi kesejahteraan dan ketenteraman warga bandar raya ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah narkotik dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kepada polis supaya tindakan membanteras dapat dilakukan,” katanya. – Berita Harian

262