Remaja lelaki maut, kemalangan di Kunak

KUNAK, 4 Jan – Seorang remaja lelaki  berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda di Jalan Pekan Kunak, semalam.

Keadaan kereta jenis vigo selepas bertembung dengan sebuah motosikal di Jalan Pekan Kunak

Pemangku Ketua Polis Daerah Kunak ASP Wee Devets Tan berkata kejadian itu berlaku kira-kira 4 petang semasa mangsa dalam perjalanan menuju ke Pekan Kunak.

Kereta jenis Toyota Vigo itu datang dari arah Pekan Kunak sedang membelok ke simpang masuk Pejabat Daerah di sini dan motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan bertembung dengan kereta itu, katanya di sini, hari ini.

Menurutnya kereta tersebut dipandu seorang lelaki berusia 70 tahun dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya akibat nahas itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dada sebelum disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Kunak. 

– BERNAMA

925