Hebat abang bomba

KOTA MARUDU : Bukan seperti kebiasaan menangkap reptilia berbisa seperti ular atau menyelamatkan mangsa dalam situasi cemas, anggota bomba juga mempunyai kepakaran menangkap monyet.

Gambar Bomba Kota Marudu

Ia susulan kejayaan sepasukan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu menangkap seekor monyet liar yang berkeliaran di bumbung asrama pelajar dan kuarters guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau, di Kota Marudu, hari ini.

Monyet terbabit dilihat berkeliaran di kawasan sekolah pada 8.20 pagi menyebabkan pihak sekolah menghubungi bomba.

Ketua Operasi, Gabuh Maradan berkata, bomba menerima panggilan pada 8.29 pagi sebelum menghantar lima anggota anggota bersama sebuah jentera ke sekolah terbabit.

“Sebaik tiba, monyet berada di bumbung kuarters guru di tingkat lima. Pasukan bomba memanjat ke bumbung untuk menangkapnya tetapi mengalami kesukaran apabila haiwan itu berpindah dari satu bumbung ke bumbung bangunan lain.

“Anggota bomba kemudian menggunakan umpan pisang dan berjaya ‘memujuknya’ ke dalam rumah kosong di tingkat lima di kuarters guru sebelum berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Gabuh berkata, monyet yang masuk melalui tingkap itu segera memakan pisang dan nasi yang disediakan di ruang tamu sebelum anggota bomba masuk serta menutup semua pintu dan tingkap rumah.

“Monyet itu berjaya ditangkap dan dimasukkan ke dalam sangkar. Operasi ditamatkan pada 9.37 pagi dan difahamkan haiwan itu akan dihantar ke hutan yang jauh dari kawasan sekolah,” katanya. – Harian Metro

254