Pemandu pelancong warga Korea ‘kantoi’ lagi

KOTA KINABALU : Pemandu pelancong warga Korea Selatan ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah kondominium di Kota Kinabalu, semalam.

Syabu yang ditemui di kondominium disewa suspek di Kota Kinabalu, semalam. – FOTO Ihsan PDRM

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, suspek berusia 40-an ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berdasarkan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil pemeriksaan di kondominium yang disewa suspek menemukan satu peket plastik mengandungi dadah jenis syabu.

“Peket plastik disyaki berisi dadah jenis syabu itu seberat 2.25 gram. Suspek yang bekerja sebagai pemandu pelancong bersama barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, saringan ujian air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek yang tinggal di bandar raya ini sejak 2014 pernah ditahan atas kesalahan sama tahun lalu. Suspek kini direman sehingga 6 Januari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Harian Metro

234