TADIKA di Sook musnah terbakar

Kejadian kebakaran yang melibatkan bangunan tadika di Sekolah Kebangsaan (SK) Nandagan, Sook, Keningau. – Foto ihsan Bomba

KENINGAU: Satu blok bangunan taman didikan kanak-kanak (TADIKA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Nandagan, dekat Sook, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian jam 3 petang itu kerana 18 murid, seorang guru dan seorang pembantu guru sudah pulang selepas sesi persekolahan berakhir jam 11.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan 16 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 3.08 petang.

“Setiba di lokasi jam 4.35 petang, kebakaran yang hanya membabitkan bangunan TADIKA di SK Nandagan, Sook, musnah sepenuhnya,” katanya di sini, hari ini. – Berita Harian

Anggota bomba memadamkan sisa kebakaran yang memusnahkan satu blok bangunan tadika di Sekolah Kebangsaan (SK) Nandagan, Sook, Keningau. – Foto ihsan Bomba


252