Nordin Siman, Datuk Bandar Kota Kinabalu Baharu

KOTA KINABALU: Datuk Nordin Siman. 61, dilantik sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu yang baharu menggantikan Datuk Yeo Boon Hai berkuatkuasa hari ini.

Datuk Nordin Siman

Nordin yang juga bekas Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) Sabah merupakan Datuk Bandar Kota Kinabalu kelima yang dipilih memegang tugas itu sejak Kota Kinabalu dinaiktaraf sebagai bandar raya pada 2000.

Berasal dari Kampung Lohan, Ranau, Nordin mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan awam selama 39 tahun dan berkhidmat di JPAN selama 11 tahun.

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata misi pertamanya adalah untuk memastikan pentadbiran efektif terutama dalam menambah pendapatan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selain meningkatkan mutu perkhidmatan organisasi itu kepada masyarakat.

“Terdapat perkara atau isu utama yang saya lihat perlu ditambahbaik iaitu sistem penyampaian agar lebih cekap dan tepat.

“Saya masih baharu (sebagai Datuk Bandar DBKK) tapi memang banyak isu yang perlu kita berikan perhatian untuk diatasi segeri termasuk keadaan lalu lintas di Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kota Kinabalu di Dewan Mesyuarat DBKK di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Tetap Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Hashim Paijan dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *