Langgar lari di Lahad Datu, polis mohon saksi bantu siasatan

sumber gambar : Facebook

 

LAHAD DATU, 26 Sept – Polis meminta orang awam yang melihat kejadian langgar lari melibatkan seorang penunggang motorsikal di Jalan Kastam kira-kira jam 10.30 pagi tadi agar tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerahnya, ACP Nasri Mansor berkata, mangsa yang identitinya belum dikenalpasti itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

“Siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki warga asing berumur 30-an. Motorsikal mangsa  dipercayai dilanggar apabila hendak ke seberang jalan untuk berjumpa keluarganya di kawasan berdekatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Berkaitan  penemuan mayat lelaki di  tepi jalan berhadapan sebuah  premis perniagaan di pusat bandar awal pagi kelmarin, Nasri berkata rakaman CCTV menunjukkan mangsa terjatuh dari balkoni tingkat satu sebelum maut ditempat kejadian.

“Ada saksi (mengatakan) semasa dia (saksi) menutup kedai melihat mangsa tidur di luar premis. Rakaman juga menunjukkan mangsa terbangun lalu duduk di balkoni sekitar 3.20 pagi.

“Beberapa minit kemudian, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan telah disahkan meninggal dunia,”katanya.

Nasri berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

 

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *