
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 11.06 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai lebih RM550,000 dalam operasi di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, di sini, awal pagi semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata operasi kira-kira jam 1.45 pagi itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan berkaitan kegiatan pengedaran dadah.
Beliau berkata, pasukan operasi mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menghampirinya.
“Bagaimanapun, ketika pasukan cuba menghampiri bot berkenaan, seorang lelaki yang berada di atasnya bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan daratan.
“Usaha mengesan suspek dijalankan, namun gagal menemui lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Amri berkata, pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan itu menemukan 11 bungkusan mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan berat kasar 11.06kg.
Katanya, nilai dadah yang dirampas dianggarkan lebih RM550,000, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot terbabit bernilai lebih RM578,000. Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 15 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sepanjang tahun ini, membabitkan 24 tangkapan.
Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes berkenaan melebihi RM718,000.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan dan rondaan secara bersepadu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah.
“Kerjasama berterusan ini penting bagi memastikan kegiatan berkenaan dapat dibanteras dan tidak mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah