
KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret Kota Kinabalu membenarkan permohonan reman terhadap dua lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang kanak-kanak perempuan yang mayatnya ditemukan di Kampung Numbak.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 24 Julai terhadap kedua-dua suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Suspek masing-masing berusia 39 tahun dan 42 tahun.
Permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat polis, Asisten Superintendan La Paula Abd Muis mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
La Paula berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua suspek ditahan selepas mayat kanak-kanak berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang sejak 13 Julai ditemukan di Kampung Numbak pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala.
Katanya, mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras dan tumpul.
Polis masih meneruskan siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan kes.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah