
LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 260 Pendatang Tanpa Izin (PTI) warga Filipina ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PTI yang dilaksanakan melalui Pelabuhan Lahad Datu, semalam.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua PTI berkenaan dipindahkan menggunakan feri komersial ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina selepas selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, mereka membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan.
“Daripada jumlah itu, seramai 167 adalah lelaki dewasa, 40 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan berusia antara lima hari hingga 68 tahun.
“Semua kanak-kanak yang terbabit turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing sepanjang proses penghantaran pulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebelum ini JIM Sabah turut melaksanakan penghantaran pulang lima lelaki warga China dari Depot Imigresen Papar melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Guangzhou pada 14 Julai lalu.
“Pada 10 Julai lalu pula, lima lelaki warga Pakistan dari Depot Imigresen Tawau dihantar pulang ke Lahore menerusi penerbangan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan iringan pegawai imigresen,” katanya.
Sitti Saleha berkata, sehingga kini seramai 4,275 PTI sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Katanya, jumlah itu membabitkan 2,838 warga Filipina, 1,207 warga Indonesia, 105 warga Pakistan dan 89 warga China.
“Semua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman serta memiliki dokumen perjalanan (Travel Documents) yang sah sebelum dibenarkan mengikuti proses penghantaran pulang,” katanya.
Beliau berkata, JIM Sabah akan terus memperkukuhkan operasi penguatkuasaan dan program penghantaran pulang PTI bagi memastikan isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini dapat ditangani secara berterusan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi atau menggaji PTI dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada saluran rasmi JIM Sabah bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah