Bau Busuk Bongkar Penemuan Mayat Dalam Bilik Berkunci Di Sadong Jaya

Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik yang berkunci sebelum mayatnya dikeluarkan pasukan bomba.

KOTA KINABALU: Bau kurang menyenangkan yang dihidu penghuni sebuah rumah sewa di Sadong Jaya di sini membongkar penemuan mayat seorang lelaki di dalam bilik yang berkunci pada malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.25 malam bagi membantu membuka pintu bilik yang dikunci dari dalam.

Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan terdapat seorang lelaki berada di dalam bilik yang berkunci dan tidak memberikan sebarang tindak balas.

“Penghuni premis turut memaklumkan mereka menghidu bau kurang menyenangkan dari bilik berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ordine berkata, bagi mendapatkan akses masuk, anggota bomba terpaksa memecahkan sebahagian dinding bilik sebelum berjaya membuka pintu yang berkunci.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa berusia 31 tahun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dikeluarkan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 9.50 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi.

“Kes berkenaan kini dalam siasatan pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *