Dr. Sirhajwan Idek Penerima Anugerah Pendidikan dari Universiti Chulalongkorn Thailand

KENINGAU : Dr. Sirhajwan Idek dari Kolej Vokasional (KV) Keningau telah dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah Educational System Management Leadership (ESML) Leadership Award 2026 dalam kategori pendidikan vokasional daripada universiti terulung di negara Thailand iaitu Chulalongkorn University yang terletak di Bangkok, pada majlis anugerah yang akan berlangsung pada 29 Mei 2026 di fakulti pendidikan universiti itu. 

Selain daripada pendidikan vokasional, kategori lain adalah pendidikan sekolah rendah/awal kanak-kanak, pendidikan sekolah menengah, sekolah antarabangsa dan eksekutif pendidikan.

Dr. Sirhajwan dipilih atas sumbangannya memperkenalkan pembelajaran berasaskan komuniti melalui empat cara iaitu khidmat langsung, khidmat tidak langsung, advokasi dan penyelidikan berasaskan komuniti.

Melalui pendekatan ini, pasukan pelajar sekolahnya telah berjaya melaksanakan pelbagai khidmat masyarakat dan berjaya mendapat pengiktirafan dari pelbagai agensi seperti Impact Malaysia, CHANGE, Arus Academy, My Starfish Foundation dan Digital Promise yang menganugerahkan geran kepada projek-projek khidmat komuniti yang dikendalikan oleh para pelajar ini.

Dibawah bimbingan Dr. Sirhajwan selaku ketua penyelidikan dan inovasi kolej itu, pasukan teknologi kimpalan mereka berjaya mendapat geran RM 15,000 daripada Impact Malaysia untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan sebuah bangunan sekolah rendah pada tahun 2025.

Selain daripada itu, para pelajar dari program lain seperi bakeri dan pastri, pengurusan perniagaan, teknologi elektrik, kosmetologi dan teknologi pembinaan telah melaksanakan kempen advokasi literasi kewangan, penyelidikan bersama petani, perkhidmatan rawatan dandan diri di rumah orang tua, kerja-kerja pembaikan perkakas elektrik dan pembaikan rumah lama dengan geran dan dana berjumlah RM 2,000 sehingga RM 10,000.

Berdasarkan dapatan data daripada pendekatan ini, Dr. Sirhajwan mendapati bahawa ianya mampu meningkatkan penglibatan sivik, kebijaksanaan emosi serta daya ketahanan para pelajar manakala komuniti sasaran memberi maklumbalas yang sangat positif. 

Menurut Dr. Sirhajwan, dia mendapat ilham melaksanakan pendekatan ini daripada ibunya sendiri, Hajah Bintek Hj Abdul Rahman, yang aktif melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan membantu golongan berkeperluan di Kota Belud iaitu daerah asal Dr. Sirhajwan.

Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, menzahirkan rasa tahniah kepada Dr. Sirhajwan Idek atas pencapaian ini yang berjaya mencetus motivasi dan penglibatan aktif para pelajar dan guru di kolej itu untuk menyumbang kepada masyarakat sekeliling dan seterusnya membantu memartabatkan pendidikan kolej vokasional.

Senarai penerima anugerah boleh diakses melalui https://icesml.com/esml-leadership-awards/

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *