Tiga Lelaki Termasuk Warga Asing Dicekup Kes Samun Wanita di Sandakan

Suspek kes samun yang berjaya dirakam melalui Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

SANDAKAN: Tiga lelaki termasuk seorang warga asing dicekup polis bagi membantu siasatan kes samun terhadap seorang wanita di sebuah rumah di Taman Megah, Batu 7, di sini, pada 21 Mac lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa diserang lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke rumah melalui tingkap sebelum bertindak menyamun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden Ramasamy A/L Kuppan berkata, suspek melarikan diri bersama beberapa barangan berharga termasuk telefon bimbit dan barang kemas dengan anggaran kerugian kira-kira RM20,000.

“Bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, polis menjalankan beberapa operasi sebelum berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang penjaga premis pajak gadai di sekitar Sandakan pada 24 hingga 25 Mac lalu.

“Suspek utama yang ditahan adalah warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek utama membawa kepada penahanan dua lagi suspek serta penemuan beberapa barang kes.

“Antara barang dirampas ialah telefon bimbit, barang kemas dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, video dan gambar suspek tular di media sosial memaparkan lelaki terbabit memecah masuk rumah mangsa dengan memakai topi, baju lengan panjang dan seluar pendek.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan diri dan kediaman selain menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *