
PENAMPANG: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dipercayai cuba terjun dari tingkat lima sebuah pusat beli-belah di Pekan Donggongon berjaya dipujuk pasukan bomba dalam kejadian petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.19 petang itu, mangsa dilaporkan berada di tingkat lima bangunan berkenaan dengan niat untuk terjun sebelum orang awam memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira jam 5.22 petang selepas menempuh perjalanan sejauh satu kilometer.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang remaja perempuan berada di tingkat lima pusat beli-belah berkenaan dan dipercayai cuba terjun dari bangunan itu.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan usaha memujuk mangsa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selepas beberapa ketika, mangsa akhirnya berjaya dipujuk sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi membabitkan enam anggota BBP Penampang menggunakan sebuah kenderaan utiliti.
“Pasukan kemudian memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah