Empat Lelaki Positif Syabu Dicekup Dalam Ops Pusat Hiburan di Sandakan

Pasukan operasi PDRM ketika membuat serbuan di salah sebuah pusat hiburan di daerah Sandakan.

SANDAKAN: Empat lelaki ditahan dalam Ops Pusat Hiburan dan Ops Tapis Narkotik yang dijalankan di sekitar Batu 4 dan Bandar Leila, di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi bermula jam 1 pagi hingga 11 pagi itu, dua lelaki ditahan kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam badan sendiri sebelum ujian saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine (syabu).

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam operasi sama, pasukan turut menahan seorang lagi lelaki warga tempatan di lokasi berasingan kerana disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi lelaki yang ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) selepas didapati positif amphetamine/methamphetamine.

“Kesemua suspek kemudiannya ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini direman di lokap IPD Sandakan untuk siasatan lanjut,” katanya.

George berkata, operasi berkenaan adalah selaras dengan komitmen pihaknya dalam membanteras pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti dadah dan akan terus mempergiatkan operasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *