
KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menahan seorang lelaki selepas disyaki memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan bagi tiga individu berasingan.
Tangkapan dibuat kira-kira jam 11 pagi pada 4 Februari di pejabat JPN Kota Kinabalu hasil tindakan pegawai penguat kuasa negeri yang menjalankan pemantauan dan siasatan dalaman.
JPN Sabah memaklumkan, suspek dipercayai bertindak sebagai penganjur atau penjamin dalam beberapa permohonan dokumen pengenalan diri berkenaan.
Menurut kenyataan dimuat naik menerusi akaun rasmi Facebook agensi itu, lelaki berkenaan mengemukakan maklumat tidak benar dengan mendakwa dirinya sebagai bapa kepada individu yang memohon kad pengenalan.
Perbuatan itu dikesan selepas semakan lanjut mendapati wujud percanggahan maklumat pada dokumen sokongan dan rekod pendaftaran, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan permohonan.
Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
JPN Sabah menegaskan komitmen agensi bagi memastikan integriti sistem pendaftaran negara sentiasa terpelihara serta bebas daripada sebarang penyalahgunaan atau cubaan penipuan identiti.
Agensi itu turut memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang cuba memberikan maklumat palsu atau menggunakan dokumen tidak sah dalam urusan berkaitan kad pengenalan dan pendaftaran kewarganegaraan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah